Selamat Tahun Baru 2019.
Tahun ini dengan izinNya, genap empat tahun saya melangkah ke era 40an. Agak menarik sebenarnya menunggu dan menikmati perubahan badan sendiri. Perubahan-perubahan yang kita tahu pasti berlaku seiring dengan peningkatan usia, meniti ke fasa kehidupan seterusnya.
Mencari-cari maklumat berkaitan perubahan ini menemui perkara-perkara yang saya rasakan amat menarik. Antara perubahan-perubahan yang akan kita alami secara berperingkat apabila usia menginjak ke 40an adalah:
- Berat badan naik dengan mudah. Jika sebelum ini mewahnya boleh makan sesuka hati pada bila-bila masa, berat badan biasanya tak bertambah dengan mudah. Sekarang hanya makan sedikit, tak perlu cari penimbang. Boleh rasa badan dah mengembang, terbukti bila ada pakaian yang terasa sendat bila disarung.
- Uban. Ini berlaku kerana pigmen hitam pada folikel rambut mulai mati. Sebenarnya rambut tidak bertukar menjadi putih, lebih bersifat lut cahaya.
- Pandangan menjadi kabur terutama dalam jarak dekat. Saya memang memakai kacamata untuk pandangan jarak jauh sejak dari zaman persekolahan lagi. Namun semenjak berusia 40 tahun, saya hadapi kesukaran untuk membaca dan menulis akibat pandangan jarak dekat yang mulai kabur. Akibatnya terpaksa tempah kacamata baru.
- Perubahan mood atau dikenali sebagai mood swing. Ada kalanya akan merasa gembira dan secara tiba-tiba akan menjadi marah atau sedih. Ini berkait rapat dengan ketidak seimbangan atau perubahan hormon dalam badan.
- Gangguan waktu tidur. Walau sering dikatakan bahawa semakin berusia tidak perlu tempoh tidur yang panjang, sebenarnya berkait juga dengan ketidak seimbangan hormon yang menyebabkan kerisauan, kerunsingan, kebimbangan, keresahan sehingga mengganggu tidur. Jika tidak dikawal dengan baik, boleh membawa kepada kemurungan dan tekanan.
- Daya tahan sakit menurun. Ini kerana semakin meningkat usia, ketahanan badan juga menurun termasuk sistem pertahanan tubuh. Kita akan semakin kerap merasa sakit dan lebih mudah untuk alami kecederaan.
- Gangguan kitaran haid juga akan berlaku akibat ketidakseimbangan hormon. Semakin lama, akan berlaku pra-menopous sebelum menopous sepenuhnya dialami.
- Keguguran rambut.
- Tumbuh rerambut di tempat yang tidak pernah ada sebelum ini seperti di telinga, belakang badan dan dagu.
- Tahap ketinggian menurun. Ini berkait dengan kekuatan otot yang semakin lemah terutama di bahagian belakang serta tulang yang semakin terhakis. Oleh itu, aktiviti fizikal berteraskan aerobik dan latihan bebanan yang sesuai berserta aktiviti regangan boleh dilakukan untuk memperlahankan keadaan ini.
Secara ringkas, suka atau pun tidak, bersedia atau pun tidak, perkara-perkara ini akan tetap berlaku pada badan kita. Kadar perubahan berbeza antara setiap individu. Sebaiknya kita perlu ambil tahu sebagai langkah persediaan agar tidak mengganggu emosi dan psikologi serta bersedia menghadapinya dengan lebih terbuka.
Saya akan berkongsi lebih banyak maklumat untuk sihat dan cergas di usia 40an nanti.
Semoga terus sihat dan cergas, ya!
No comments:
Post a Comment