Sejak kecil dan sehingga di zaman persekolahan, kita sering diingatkan atau ditegur agar sentiasa pastikan badan berada dalam keadaan tegak. Ini mungkin berdasarkan pengalaman orang-orang tua ketika itu bahawa semakin berusia, badan akan menjadi semakin bongkok.
Semakin berusia, perubahan fizikal akan berlaku secara perlahan-lahan seolah kembali ke posisi fetus iaitu kepala dan bahu teralih sedikit ke hadapan, dada seolah terperusuk ke dalam dan lekukan tulang belakang membentuk C akibat pelvik yang teralih ke hadapan.
Antara faktor ini berlaku akibat otot abdominal yang lemah kerana terlalu banyak duduk dalam posisi yang salah.
Untuk tangani masalah ini, cuba berdiri rapat dan bersandar pada dinding sepenuhnya. Pastikan bahagian belakang kepala, bahu, pinggul dan tumit menyentuh dinding. Ingat posisi ini dan dengan perlahan cuba berjalan ke hadapan dengan mengekalkan posisi tersebut. Ulang perlakuan ini sekerap yang boleh.
Selain itu, posisi duduk boleh juga dilakukan untuk membetulkan postur. Duduk dengan selesa bersandar lurus. Jarakkan sedikit kaki dan siku dirapatkan pada pinggang. Tangan diletakkan pada peha dengan tapak tangan mengadap ke atas.
Tarik nafas, pastikan badan lurus. Hembus nafas dan pastikan perut ditarik masuk rapat ke badan. Tarik nafas dan kekalkan siku pada pinggang sambil tapak tangan digerakkan ke sisi sejauh mungkin untuk meregangkan dada. Ulang perlakuan ini sekerap mungkin.
Pernah lihat warga emas berjalan sambil jari kaki terarah keluar? Semakin meningkat usia, keupayaan badan untuk kekalkan keseimbangan juga semakin menurun. Untuk seimbangkan badan semasa berjalan, kaki membetulkan semula posisinya agar boleh berjalan dengan stabil.
Keadaan ini boleh dikawal dengan menguatkan otot abdomen dan pelvik. Latihan bebanan atau aktiviti lain seperti yoga dan pilates dapat membantu menguatkan otot-otot yang berkaitan.
Cuba juga berdiri tegak hampir dengan dinding. Angkat dan turunkan tumit secara berselang seperti memakai kasut tumit tinggi. Lakukan dengan kerap.
Semakin usia meningkat, kawalan terhadap postur juga semakin berkurangan. Amalkan aktiviti fizikal untuk menguatkan otot-otot badan dan sendi agar postur dalam keadaan baik. Perubahan postur lama kelamaan akan menyebabkan berlakunya limitasi pada pergerakan seharian.
No comments:
Post a Comment