Saturday, January 5, 2019

Amalkan Postur Berjalan Yang Baik di Usia 40an

Mengekalkan postur yang baik amat penting untuk melakukan pergerakan seharian. Postur yang salah menyukarkan pergerakan dilakukan dengan mudah kerana boleh menimbulkan rasa tidak selesa, sakit berpanjangan dan akhirnya menyebabkan berlaku kecederaan. 

Pergerakan asas seperti berjalan juga memerlukan postur yang betul. Ini penting kerana boleh mempengaruhi pernafasan, jarak perjalanan dan elak rasa penat dengan mudah. Biasanya postur yang salah terutama kedudukan kepala dan bahu menyebabkan masalah ini berlaku. Postur yang betul semasa berjalan memberikan imej pelaku yang lebih positif iaitu kelihatan lebih tinggi, tegap dan menarik.

Semasa berjalan, pastikan tubuh berada dalam keadaan tegak. Ini penting untuk biasakan tulang belakang dalam keadaan lurus dan melatih otot-otot lain disekitarnya untuk menyokong pergerakan ini. Cuba elak badan terdorong ke hadapan atau belakang kerana keadaan ini beri tekanan pada tulang belakang.

Tumpukan perhatian lurus di hadapan dan bukan memandang ke bawah. Jarak pandangan seeloknya antara 20-30 meter ke hadapan kerana pandangan akan meliputi ruangan di hadapan dan sisi. Jika memandang ke bawah, badan cenderung akan membongkok dan keadaan ini berkemungkinan menjadi kekal akibat pelaziman. Pastikan dagu selari dengan lantai untuk tidak beri tekanan pada leher dan belakang. Kedudukan dagu yang betul membolehkan pemerhatian lurus ke hadapan. Kita mungkin cenderung untuk merendahkan pandangan ke skrin telefon dan akhirnya terlupa untuk memandang lurus ke hadapan, pastikan untuk betulkan semula posisi dagu.

Semasa berjalan, pastikan bahu berada dalam keadaan rehat. Gerakkan bahu ke atas dan bawah untuk rehatkannya jika mula rasa lenguh akibat tidak digunakan. Gunakan bahu untuk bantu pergerakan tangan semasa berjalan. Pergerakan bahu boleh dilajukan atau diperlahankan mengikut langkah kaki. Semakin laju, lebih banyak otot-otot badan dapat digerakkan.

Otot abdomen memainkan peranan penting menghubungkan koordinasi pergerakkan antara bahagian atas badan dengan bahagian bawah badan. Otot abdomen yang kuat melancarkan pergerakan dan langkah kaki. Semasa berjalan, bernafas seperti biasa dan tarik perut rapat ke badan agar postur tegak. Pinggul juga dipusingkan sedikit supaya tulang belakang berada dalam keadaan lurus.

Setiap kali melangkah, cuba kekalkan postur sebegini. Jika terlupa atau sedar postur berjalan berubah akibat terlalu lama memerhati skrin telefon, kembalikan semula ke posisi postur berjalan yang betul. Kebiasaan yang salah akan menyebabkan tubuh menjadi selesa dengan posisi tersebut dan akhirnya cenderung berlakunya kecederaan dalam tempoh panjang atau apabila usia meningkat nanti.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.


No comments:

Post a Comment